NILAI, 30 Jun - Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) akan menghantar dua peninju negara ke Korat, Thailand sebagai persiapan terakhir ke Sukan Komanwel 2022.
Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerrard Clair Monteiro berkata dua peninju tersebut iaitu Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin dan Sheikh Rahmatullah Ibrahim akan menyertai beberapa kejohanan dan latihan intensif selama tiga minggu bermula minggu hadapan.
"Saya diberitahu persiapan setakat ini berjalan lancar, mereka akan ke Thailand untuk sertai pertandingan minggu hadapan dan selepas itu mereka akan terus ke Birmingham.
"Jadi pertandingan di Thailand ini sebagai pemanas badan dan kita boleh nilai persiapan pasukan ke Komanwel berdasarkan keputusan dari Thailand ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kem latihan pasukan tinju ke Sukan Komanwel di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.
Tambah Gerrard, acara tinju antara acara yang disasar untuk menyumbang pingat buat negara.