fb fb fb fb fb

Terbuka Malaysia 2022: Zii Jia terkandas, empat beregu negara layak ke suku akhir

BUKIT JALIL, 30 Jun- Wakil tunggal perseorangan Malaysia di pusingan kedua, Lee Zii Jia dikejutkan pemain ranking ke-26 dunia, Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia dalam aksi tiga set.

Kedua-dua pemain ini telah bertemu sebanyak tujuh kali dengan pertemuan terakhir dimenangi Zii Jia pada Terbuka Thailand baru-baru ini.

Shesar menguasai set pertama dari awal permainan dengan corak agresif untuk menang 21-19.

Namun, Zii Jia yang menduduki ranking ke-5 dunia berjaya mengawal permainan di set berikutnya untuk menang juga dengan keputusan 21-19.

Di set penentuan pula, aksi Zii Jia yang diringi sorakan padu penyokong masih gagal untuk menundukkan Shesar apabila tewas 16-21.

"Saya tak menyesal lah. Semasa buat keputusan untuk sertai kejohanan ini, saya akan bagi yang terbaik. Tapi kalau ini keputusannya, saya kena terima lah. Masih ada banyak lagi yang kena perbaiki, saya akui perkara itu," kata Zii Jia ketika ditemu bual pemberita RTM selepas aksi perlawanan di Arena Axiata.

Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing turut menyertai dua lagi beregu negara ke suku akhir.


(FOTO BAM)

Beregu pilihan kelima kejohanan itu berjaya menundukkan pasangan dari Singapura, Hee Yong Kai-Low Kean Hean dalam aksi straight sets 21-16, 21-13 manakala gandingan beregu wanita negara pula berjaya menewaskan Lee So Hee-Shin Seung Chan dalam aksi tiga set 18-21, 21-12 dan 21-15.

Bagi pusingan suku akhir esok, dua pasangan beregu lelaki berdepan beregu Indonesia manakala Goh Sze Fei-Nur Izzudin bakal berdepan pasangan dari China, Liu Yiu Chen-Ou Xuan Yi.

Beregu wanita perlu akan berdepan gandingan pilihan kelima kejohanan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.






Media Baharu