fb fb fb fb fb

Dr. Craig Duncan dilantik Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan - FAM

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 2 Januari- Pasukan Harimau Malaya terus diperkasa menerusi pelantikan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan Duncan yang memiliki pengalaman luas dan kepakaran dalam prestasi manusia itu akan bermula bulan ini.

"Duncan bertanggungjawab mengetuai hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan," kata kenyataan itu.

Duncan pernah berkhidmat bersama Sydney FC, Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014 dan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018.

Terdahulu, FAM mengumumkan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dan menamakan Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) skuad Harimau Malaya pada Selasa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM