fb fb fb fb fb

MHL 2025: Skuad gabungan muka baharu dan lama, THT tekad rampas semula gelaran juara 

Skuad Terengganu Hockey Team THT

KUALA TERENGGANU, 2 Januari- Skuad Terengganu Hockey Team THT bertekad untuk kembali merampas semula tiga gelaran dalam saingan Liga Hoki Malaysia MHL 2025 yang dijadual bermula 4 Januari ini.
 
Skuad kendalian ketua jurulatih Mohd Harfizi Baharom itu menyenaraikan 39 pemain terdiri pemain muda dan dan berpengalaman.
 
Jelas Mohd Harfizi,  pada musim ini juga THT diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua import berpengalaman dari  Afrika Selatan iaitu pemain penyerang, Samkelo Mvimbi dan Lee Nam Yong dari Korea Selatan yang mampu bermain di pelbagai posisi.
 
Pada musim lepas, THT terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Piala Sumbangsih, Piala TNB dan naib juara liga.
 
"Tahun ini kita akan cuba kembalikan piala itu ke Terengganu sebab tahun lepas pun kita agak kecewa. Pada tahun 2025 ini pemain sudah sedia bangkit daripada kekecewaan dan kita akan cuba bersaing dengan pasukan yang ada pada Liga Hoki Malaysia 2025 ini," katanya.
 
Mohd Harfizi berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Pemain, Jersi 2025 dan Penaja THT bagi saingan MHL 2025, di Kuala Terengganu malam tadi.
 
Sementara itu, ketua pasukan THT Mohd Fitri Saari berkata saingan musim kali ini dijangka lebih sengit dengan kehadiran pasukan dari Australia, Territory Stringers dan Matador Hockey Club.
 
Namun begitu ianya tidak akan dijadikan alasan untuk mencapai sasaran matlamat tersebut, ditambah dengan semangat pemain THT yang sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal.
 
"Kita harap, dapat memperbaiki pencapaian yang lepas sekurang-kurangnya satu piala tetapi kita akan lihat perlawanan demi perlawanan kerana kita tahu kita punya pihak lawan juga agak kuat, apalagi ada pasukan Matador yang ada lapan pemain import.

"Bukan itu sahaja, pasukan TNB, Maybank juga pasukan yang sangat kuat," katanya.
 
Selain THT, Matador Hockey Club dan Territory Stingers, tujuh lagi pasukan bertanding ialah Tenaga Nasional Berhad-TNB, Maybank, Nur Insafi Sporting, UiTM HA-KPT, Armed Forces HT, TNB Thunderbolt dan Liaoning Hockey Team dari negara China.
 
Cabaran tersebut juga diakui pemain penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang kini berusia 39 tahun, kembali menabur bakti dengan THT musim ini.
 
"Mungkin UiTM, Nur Insafi, dan pasukan lain pun sudah mengemaskini pasukan untuk musim kali ini. Jadi kita tidak boleh pandang rendah.

"Jadual yang padat, dalam musim ini saya rasa, memang agak sukar tetapi tidak mustahil kalau kita sebagai satu pasukan dapat merealisasikan apa yang kita kehendaki pada musim ini," katanya.
 
Pada MHL 2025, enam venue terpilih untuk melangsungkan 78 perlawanan iaitu Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki KPM, Stadium Hoki Tun Razak, Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang dan Stadium Hoki Seremban, Negeri Sembilan. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE