fb fb fb fb fb

Terbuka Korea 2024: Pearly-Thinaah muncul naib johan

Pearly-Thinaah muncul naib johan Terbuka Korea/ Foto AFP

KUALA LUMPUR, 1 September - Impian pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, untuk merangkul kejuaraan pertama musim ini tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, pada perlawanan akhir Terbuka Korea 2024 hari ini.

Pertandingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo, Seoul, menyaksikan Pearly-Thinaah, yang merupakan pilihan keempat kejohanan, terpaksa akur dengan kehebatan pilihan keenam kejohanan apabila mereka tumbang dengan keputusan 12-21 dan 11-21 dalam masa 44 minit.

Kekalahan ini merupakan yang ketiga bagi Pearly-Thinaah kepada pasangan yang sama selepas kejohanan All England 2022 dan China Masters 2023.

Dalam perlawanan akhir Super 500 ini, Pearly dilihat mengalami kesakitan, dengan beliau meminta semburan pada buku lali kanannya pada set pertama dan meminta ais diletakkan di tempat yang sama pada set kedua.

Sebelum melangkah ke final, Pearly-Thinaah berjaya menumpaskan pilihan pertama kejohanan dan pasangan nombor dua dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan, dengan keputusan 21-18, 21-13 pada separuh akhir yang berlangsung selama 42 minit semalam.

Dalam perkembangan lain, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Korea 2024 selepas menewaskan pasangan China, Guo Xin Wa-Li Qian, dengan keputusan 17-21, 21-13, dan 21-13.

Trainee