KUALA LUMPUR, 3 November - Kejohanan Golf Terbuka Amatur ASEAN Bridgestone 2025 secara rasmi menamatkan musim 12 peringkatnya di Templer Park Country Club, dengan juara setiap peringkat kejohanan, bersaing untuk merebut kejuaraan utama pada siri golf amatur yang paling terkenal di rantau ini.
Pada peringkat akhir tahun ini yang berlangsung pada Sabtu, Ong Pok Wen telah dinobatkan sebagai Juara Nett, selepas beliau menjadi Juara Nett pada pusingan kelayakan di lokasi sama pada 11 Julai.
Imran Marzuki pula mempamerkan prestasi mengagumkan untuk merangkul gelaran Juara Gross, yang merupakan penerusan momentum baiknya, selepas berjaya memenangi gelaran Gross pada peringkat IOI Palm Villa Golf & Country Resort iaitu peringkat terakhir sebelum Grand Final.
Selain pemenang-pemenang peringkat, lapan wakil media daripada Bernama, The Star, Utusan Malaysia, NST, Berita Harian, Madani News, Kosmo Digital turut bersaing dalam kategori “Jemputan” pada kejohanan disertai keseluruhan 90 pemain.
Jaiarajo Letchumanan daripada Bernama muncul pemenang hadiah utama pukulan terus ke lubang dan membawa pulang jam tangan jenama IROAS bernilai RM3,564, manakala Mohd Hasriq Amiruddin (The Star) menamatkan saingan di tempat kelima.
Kini pada penganjuran untuk tahun kesembilannya, Terbuka Amatur ASEAN Bridgestone terus memperluas jangkauan dan impaknya ke seluruh rantau Asia.
“Dari Malaysia ke Singapura, Brunei, Vietnam, India dan seterusnya, jelajah ini telah menghimpunkan pemain golf yang mahu terus bersaing, berintegriti dan menghargai persahabatan. Pada ketika kita menantikan sambutan ulang tahun ke-10 tahun depan, kami komited menjadikan Terbuka Amatur ASEAN Bridgestone lebih besar, lebih baik dan lebih menarik untuk komuniti golf di Asia.
“Ucapan terima kasih khas juga kepada Tourism Malaysia selaku penaja utama kami, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Golf Malaysia (MGA), atas sokongan dan kepercayaan berterusan anda dalam mempromosi pelancongan golf di Malaysia,” kata Pengarah Urusan Prestige Golf Sdn Bhd Vasudevan Krishnan, selaku rakan kongsi serantau rasmi Bridgestone Golf.
Acara kemuncak berprestij itu telah dihadiri rakan kongsi utama dan tetamu kehormat, termasuk Naib Presiden Bahagian Perniagaan Luar Negara di Bridgestone Sports Co., Ltd. Yuichi Wada dan Pengarah Urusan SOKIO Corporation Shin Yongwoo selaku pengedar terbesar Bridgestone Golf.
Turut hadir para penaja dan rakan kongsi, wakil kelab penganjuran sepanjang musim, serta ahli-ahli media.- BERNAMA