KUALA LUMPUR, 3 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bagi penganjuran Warzone World Championship (WWC 2025).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata sekiranya pihak penganjur ingin meneruskan kejohanan tersebut, mereka perlu mengemukakan permohonan rasmi serta mematuhi syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kementerian.
"Kita sudah banyak kali mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang mahu menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa wajib memohon kelulusan daripada KBS. Dalam kes ini, hasil semakan mendapati tiada sebarang permohonan diterima," katanya.
Tegas beliau, sekiranya penganjur meneruskan acara tanpa kebenaran, KBS akan membuat laporan polis bagi merekodkan penganjuran tidak sah itu.
"Kalau mereka teruskan juga, kita akan lapor polis. Ini penting supaya penonton, penaja dan pemilik venue tahu bahawa acara itu tidak mendapat kelulusan KBS," katanya.
Kata beliau, kerajaan tidak menentang penganjuran sukan tempur, namun ia mesti dijalankan dalam suasana yang selamat dan sesuai dengan masyarakat Malaysia.
Tambahnya lagi, kandungan tontonan perlu memaparkan contoh dan nilai positif kepada penonton, dan bukannya menggalakkan budaya keganasan atau buli.