fb fb fb fb fb

Kerajaan Pahang beri ''suntikan" untuk Al-Adam Mikail harumkan nama negara

Foto Bernama

KUANTAN, 3 November- Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan kepada pelumba cilik berbakat besar Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff, 11, sebagai dorongan bagi mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa pada kejohanan FIM MiniGP World Final bagi kelas 160cc di Valencia, Sepanyol.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata bantuan itu antara lain bagi menyuntik semangat pelumba itu yang dijangka memulakan saingan pada pertengahan bulan ini.

“Pelumba cilik ini mempunyai bakat besar, kita doakan Al-Adam Mikail buat terbaik dan bersungguh-sungguh sekali gus mengharumkan nama Pahang serta Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyampaikan sumbangan kepada anak jati Pahang itu di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.

Fadzli berkata sumbangan berkenaan merupakan “duit poket” bagi anak muda itu berentap pada kejohanan berkenaan selain kerajaan negeri juga sebelum ini pernah menghulurkan bantuan kepadanya sebagai galakan.

“Dalam tempoh hampir tiga tahun kerajaan negeri sudah bantu beberapa kali pelumba ini, dengan banyak pencapaian telah direkodkan, antaranya menjadi juara FIM MiniGP Malaysia bagi kategori 160cc.

“Kita sentiasa menyokong penglibatan anak muda termasuk kanak-kanak dan remaja ceburi sukan permotoran sebegini kerana ia dapat membina karakter di samping melibatkan mereka dengan aktiviti sihat,” katanya.

Sementara itu, Al-Adam Mikail berkata segala persiapan telah dilaksanakan terutama daripada aspek latihan yang dilakukannya hampir setiap hari di litar Gong Badak, Terengganu dan berharap ia akan membuahkan hasil kelak.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang akan berlepas ke Sepanyol pada Rabu ini bersama bapanya Mohd Hamirul Aliff Abd Halim, 33, juga dijangka berdepan cabaran cuaca sejuk di negara itu.

“Saya akan cuba fokus dan buat yang terbaik bagi mengharumkan nama negara serta mengharapkan doa daripada semua agar beroleh kejayaan,” katanya.

Al-Adam Mikail akan berdepan lebih 40 pelumba yang mewakili 23 negara dalam saringan kejohanan itu yang dijadualkan bermula 14 Nov ini sebelum ke pusingan akhir.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH