fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Rayuan FIFA kekal hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain

Foto REUTERS

ZURICH, 3 November – Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan keputusan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain selepas menolak rayuan yang dikemukakan berhubung pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan Jawatankuasa Rayuan membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen dan menjalankan pendengaran, sebelum memutuskan untuk mengekalkan sepenuhnya hukuman sedia ada.

"Berdasarkan keputusan tersebut, FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF 350,000 kepada FIFA, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF 2,000 serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak," menurut kenyataan itu.

FAM dan para pemain telah dimaklumkan mengenai keputusan itu pada hari ini dan diberikan tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis yang disertai alasan penuh.

Selepas menerima pemberitahuan tersebut, mereka mempunyai tempoh 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN