fb fb fb fb fb

SSTMI muncul juara ragbi 10 sebelah Antarabangsa Melaka

Pasukan SSTMI dari Johor meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Ragbi 10s Antarabangsa Melaka 2024/ Foto Bernama

MELAKA, 1 September – Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) telah dinobatkan sebagai juara kejohanan ragbi antarabangsa 'Melaka International Rugby 10s' bagi kategori terbuka lelaki, baik Antarabangsa mahupun tempatan.

Kejohanan ini, yang dianjurkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan kerjasama kerajaan Melaka, diadakan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Selain dua kategori utama, kejohanan ini juga menyaksikan pertandingan dalam kategori Bawah 14 tahun.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas (Akademi Ragbi Melaka) telah muncul sebagai juara dalam kategori tersebut, manakala Melaka High School Old Boys berjaya merangkul gelaran juara kategori Veteran.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Melaka, dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden, berkata bahawa 'Karnival Merdeka Kehidupan Lebih Baik, Bersama Bank Muamalat', yang bermula pada 30 Ogos dan berakhir hari ini, mengangkat tema perpaduan, kebersamaan, dan patriotisme.

Zury Rahimee menambah, karnival ini bukan sahaja menampilkan kejohanan 'Melaka International Rugby 10s', tetapi juga perasmian bazar makanan, minuman, dan kraftangan tempatan, pameran produk oleh usahawan iTEKAD Bank Muamalat, serta klinik pergigian bergerak yang ditubuhkan oleh rakan niaga Universiti Malaya.

Pameran auto juga turut diadakan, memberikan peluang kepada pengunjung untuk memohon produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bank Muamalat di Bank Gerai Muamalat.

Beliau juga mengulas bahawa Bank Muamalat sentiasa mencari peluang kerjasama strategik dengan entiti swasta atau kerajaan untuk penganjuran program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, seperti kerjasama dengan kerajaan Melaka.

Trainee