fb fb fb fb fb

Paris 2024: Noor Askuzaimey gagal mara ke final

Pemain boccia negara Noor Askuzaimey Mat Salim beraksi dalam separuh akhir wanita individu BC4 (kecacatan fizikal) menentang pemain Hong Kong Yuen Cheung pada Sukan Paralimpik Paris 2024/ Foto Bernama

PARIS, 1 September - Impian pemain boccia negara Noor Askuzaimey Mat Salim melakar sejarah menjadi atlet wanita pertama dari sukan itu ke pentas final Sukan Paralimpik tidak kesampaian, selepas tewas dalam peringkat separuh akhir wanita individu BC4 (kecacatan fizikal) hari ini.

Noor Askuzaimey terpaksa akur dengan kehebatan atlet dari Hong Kong Cheung Yeun, yang menguasai perlawanan di South Paris Arena 1 dengan keputusan 7-0, sekali gus melangkah ke final esok.

Noor Askuzaimey Mat Salim Juara Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu, masih berpeluang mencipta kejayaan membanggakan muncul atlet wanita pertama negara merangkul pingat dalam sukan boccia, apabila bakal membuat perhitungan merebut pingat gangsa menentang pemain nombor satu dunia dari Colombia Leidy Chica Chica, hari ini.

Perlawanan menentukan pingat gangsa itu dijadual pukul 6.10 petang waktu tempatan.

Chica Chica tewas mengejut kepada wakil China, Lin Xinmei, 3-4, pada satu lagi aksi separuh akhir.

Pemain boccia negara Noor Askuzaimey Mat Salim beraksi dalam separuh akhir wanita individu BC4 (kecacatan fizikal) menentang pemain Hong Kong Yuen Cheung pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, jurulatih boccia negara Raja Zahrule Azhar Raja Khairul Anwar berkata perasaan gemuruh yang menyelubungi anak buahnya telah menjejaskan persembahannya hari ini.

“Permainan hari ini bukan lah tak cantik kerana saya rasa dia main agak baik. Mungkin faktor persekitaran temasya sebesar ini agak sukar baginya,” katanya kepada Bernama di zon campuran.

Raja Zahrule pada masa sama berharap agar atlet berusia 38 tahun itu, mampu bangkit memberikan aksi terbaiknya dalam pertemuan sulung menentang Chica Chica, untuk merebut gangsa.

Noor Askuzaimey membuka kempen sulungnya di Sukan Paralimpik dengan cemerlang apabila menang kesemua perlawanan Kumpulan B, dengan mengalahkan Nataliia Konenko dari Ukraine, 8-6, diikuti kemenangan tipis ke atas Alison Levine dari Kanada, 3-2 dan membelasah Hanaa Elfar dari Mesir, 11-3.

Beliau yang mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan B, meneruskan momentum kemenangan dengan menyingkirkan Chrisy Morfi Metzou dari Greece, 7-0, semalam.

Trainee