KUALA LUMPUR, 3 November – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membawa kes rayuan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS) selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan berhubung kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Haji Mahadi berkata pihaknya akan menulis kepada FIFA bagi memohon butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut. Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengenakan denda sebanyak CHF 350,000 terhadap FAM serta penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit daripada sebarang aktiviti bola sepak.