SEREMBAN, 1 September- Pemain skuasy wanita muda negara, Aira Azman berjaya menjulang kejuaraan Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2024 (TMT 2024) selepas menewaskan wakil dari Hong Kong, Chan Sin Yuk, 3-0, dalam aksi akhir di Kompleks Sukan Datuk Mohd Said, Seremban Dua, hari ini.
Bekas juara remaja Asia itu berjaya mengenepikan tekanan yang diberikan Sin Yuk, yang juga pilihan ketiga kejohanan apabila menamatkan set pertemuan itu dengan 11-9, 11-9, 11-9 dalam masa 35 minit.
Aira antara empat pemain selain kakaknya Aifa Azman, S Sivasangari dan Ng Eain Yow disenaraikan dalam Program Fast Track yang diwujudkan bagi melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Sementara itu, pemain India, Abhay Singh menggungguli kategori lelaki selepas mengenepikan cabaran pilihan pertama kejohanan dari Hong Kong, Lau Tze Kwan, 3-1, dalam masa 45 minit.
Hadiah kepada pemenang disempurnakan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Turut berangkat, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar serta Presiden PSNS, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.