LONDON, 1 September- Acara triatlon di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan pada Ahad ditangguhkan kerana kebimbangan baharu mengenai kualiti air di Sungai Seine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sebelas acara dijadualkan, bermula dengan aksi renang di sungai pada pagi Ahad, tetapi penganjur berkata ia ditangguhkan kerana penurunan kualiti air berikutan hujan dua hari sebelumnya.
Acara itu dijadualkan semula pada Isnin jika ujian berterusan menunjukkan peningkatan dalam kualiti air.
Satu kenyataan daripada Triatlon Dunia mengesahkan penangguhan itu selepas pertemuan dengan wakil Paris 2024 dan pihak berkuasa Perancis pada 3.30 pagi (0130 GMT) pada Ahad.
"Ujian terkini menunjukkan penurunan kualiti air di sungai berikutan hujan sejak dua hari lepas," menurut kenyataan itu, sambil menambah acara itu akan diteruskan pada Isnin jika ujian air mematuhi "ambang Triatlon Dunia yang ditetapkan".
"Paris 2024 dan Triatlon Dunia mengulangi bahawa keutamaan mereka ialah kesihatan atlet dan dengan keadaan ini, acara para triatlon tidak boleh berlangsung hari ini."
Acara triatlon pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Ahad dan Isnin, tetapi digabungkan menjadi satu hari kerana ramalan hujan.
Triatlon lelaki semasa Sukan Olimpik bulan lepas, yang dimenangi Alex Yee dari Britain, ditangguhkan selama 24 jam kerana kebimbangan terhadap kualiti air yang turut menyaksikan ujian renang dibatalkan. - BERNAMA-dpa