fb fb fb fb fb

Terbuka Indonesia: Alami kecederaan pergelangan kaki,Axelsen tarik diri

Pemain badminton nombor satu dunia, Viktor Axelsen sah menarik diri akibat kecederaan pergelangan kaki/Foto REUTERS

JAKARTA,4 Jun-Juara badminton Olimpik, Viktor Axelsen menarik diri daripada bertanding di Terbuka Indonesia minggu ini susulan mengalami kecederaan pergelangan kaki.

Pemain Denmark berkenaan mengalami kecederaan tersebut pada Terbuka Singapura minggu lalu menyaksikan dia menarik diri pada pertandingan separuh akhir terbuka berkenaan.

Axelsen menyatakan kecederaan pergelangan kakinya tidak sembuh sepenuhnya untuk dia bermain dan bertanding pada kejohanan berprestij, acara Super 1000 di sini.

"Saya sudah mencuba sedaya-upaya bagi menyediakan diri menghadapi Terbuka Indonesia.

"Malangnya, saya tidak cergas bagi bermain", kata pemain nombor satu dunia itu di sosial media X.

"Saya akan merindui bermain di Jakarta dan berjanji akan kembali bagi pertandingan di sini pada masa akan datang", tambah Axelsen.

Kecederaan yang dialami Axelsen merupakan tamparan buat pemain berkenaan dalam usahanya mempertahan kan pingat emas Olimpik yang dimenanginya sebelum ini dengan hanya berbaki beberapa minggu sebelum Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula.

Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan ketika menang menentang pemain Taiwan,Lin Chun-yi pada pusingan 16 terbaik di Terbuka Singapura.

Axelsen menang pada perlawanan suku akhir menentang wakil negara, Leong Jun Hao sebelum mengambil keputusan menarik diri pada aksi separuh akhir.

Pertandingan badminton Sukan Olimpik Paris bakal membuka gelanggang pada 27 julai depan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD