fb fb fb fb fb

Badminton Terbuka Indonesia: Zii Jia mara ke pusingan kedua

Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia/ Foto Facebook ziijialee

JAKARTA, 5 Jun-Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua saingan badminton Terbuka Indonesia selepas menewaskan pemain dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long.

Zii Jia diberi tentangan agak sengit sebelum menang 21-17, 21-16 dalam tempoh 40 minit.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Zii Jia ke atas pemain ranking ke-21 dunia itu.

Zii Jia sebelum ini turut menang dalam empat pertemuan terakhir mereka termasuk ketika final Terbuka Thailand dan separuh akhir Malaysia Masters, bulan lalu.

Pemain ranking ke-9 dunia itu kemudian menarik diri dari saingan Terbuka Singapura minggu lalu susulan masalah kecederaan hamstring.

Sementara itu dalam aksi beregu, pasangan wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke pusingan kedua.

Mereka dipaksa bekerja keras sebelum mampu mengatasi gandingan Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui 21-19, 22-20 dalam tempoh 40 minit.

Manakala beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Pasangan ranking ke-20 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 20-22, 21-16, 21-17 ke atas pilihan ketiga tersebut.

Dalam pada itu, nasib berbeza pula dialami dua pasangan beregu campuran negara.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas seawal pusingan pertama apabila kecundang di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung, 13-21, 15-21.

Manakala juara Malaysia Masters, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut kecundang apabila tewas kepada pasangan dari Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tze Yau dalam aksi tiga set 21-16, 17-21 dan 10-21.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD