fb fb fb fb fb

Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Hong Kong selepas menumpaskan rakan senegara, Go Pei Kee-Teo Mei Xing hari ini

KUALA LUMPUR, 12 September - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Hong Kong selepas menumpaskan rakan senegara, Go Pei Kee-Teo Mei Xing hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, pasangan ranking kedua dunia itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-15 dalam tempoh 31 minit.

Naib juara Kejohanan Dunia itu akan berdepan gandingan China, Jia Yifan-Zhang Shuxian, di separuh akhir esok selepas pasangan berkenaan menundukkan beregu Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, 21-12, 21-7.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, untuk mengikut jejak langkah sama tidak kesampaian selepas tunduk kepada gandingan India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada mereka kerana tidak membenarkan lawan meraih kemenangan mudah, sebelum tewas dalam pertarungan rubber set 14-21, 22-20, 16-21 dalam tempoh lebih sejam. - BERNAMA

ZAZALI JAMIAN