fb fb fb fb fb

Piala FA: TFC perlu bangkit menentang Imigresen FC esok

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berharap agar pemain lebih fokus dan memperagakan aksi terbaik bagi memastikan pasukan mara ke peringkat suku akhir Piala FA kali ini / Foto Bernama

KUALA NERUS, 12 September - Pemain Terengganu FC (TFC) perlu bangkit memburu gol awal pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Imigresen FC (IFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sabtu ini.

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata ia bagi menaikkan motivasi pemain selepas ketinggalan 1-2 pada perlawanan pertama di tempat lawan bulan lepas.

Beliau turut berharap agar pemain TFC lebih fokus dan memperagakan aksi terbaik bagi memastikan pasukan mara ke peringkat suku akhir Piala FA kali ini.

“Imigresen FC memiliki kelebihan satu gol selepas menang 2-1 tempoh hari. Jadi, jaringan awal amat penting untuk tingkatkan semangat pemain dan pastikan kemenangan.

"Pada perlawanan lepas, kami banyak cipta peluang tetapi gagal diterjemahkan kepada gol. Saya harap kesilapan itu tidak akan berulang. Semua pemain perlu fokus dan disiplin dalam melaksanakan perancangan," katanya.

Dalam pada itu, Badrul Afzan turut memaklumkan semua pemain kecuali penyerang import Yan Mabella dan Gabriel Silva dalam keadaan baik serta cergas selepas melalui tempoh rehat agak panjang.

Bagaimanapun jelas beliau barisan kejurulatihan tidak mempunyai masalah untuk memilih pemain bagi menggantikan tempat dua penyerang import utama berkenaan.

“Yan (Yan Mabella) dan Gabi (Gabriel Silva) masih cedera. Tak pasti boleh diturunkan… masih 50-50 tetapi tidak ada masalah. Kami sudah ada bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan. Pemain import baharu… saya difahamkan sedang buat pemeriksaan kesihatan di Kuala Lumpur, tak pasti sempat beraksi pada malam esok atau tidak,” jelas Badrul Afzan.

Beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada ancaman penyerang import Joao Pedro dan Wilmar Jordan yang menjadi rekrut terbaharu skuad IFC. - BERNAMA

ZAZALI JAMIAN