TOKYO, 12 September – Presiden World Athletics, Sebastian Coe melahirkan rasa puas hati apabila keputusan menjadikan Kejohanan Olahraga Dunia sebagai penutup musim olahraga menerima sokongan padu daripada atlet dan jurulatih.
Edisi kali ini yang bermula esok di Tokyo bakal menjadi “kemuncak” musim, berbeza dengan kebiasaan sebelum ini apabila kejohanan dunia atau Olimpik sering disusuli saingan akhir Liga Berlian.
Menurut Coe, keadaan lalu meletakkan beban kepada atlet yang perlu kembali bersedia hanya seminggu selepas menamatkan kejohanan terbesar dalam karier mereka.
“Hujung minggu pembukaan kali ini cukup istimewa apabila acara akhir 100 meter lelaki dan wanita berlangsung dalam sela masa tujuh minit pada malam Ahad, bukan pada malam berasingan seperti biasa,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa acara lelaki, yang menutup tirai malam, akan menenggelamkan acara wanita yang disifatkannya antara paling menarik sepanjang kejohanan.
Tambah Coe, Tokyo mempunyai “hubungan emosi” tersendiri selepas pernah menganjurkan Olimpik 2021 tanpa penonton. Kali ini, stadium berkapasiti hampir 50,000 dijangka penuh setiap malam sepanjang sembilan hari kejohanan dengan hampir 500,000 tiket sudah terjual.
Sebanyak 2,000 atlet dari 200 negara akan beraksi, dengan acara jalan kaki 35 kilometer lelaki dan wanita menjadi pembuka tirai pada Sabtu pagi, diawalkan ke jam 7.30 pagi bagi mengurangkan kesan panas dan kelembapan. -REUTERS
