BEIJING, 29 September- Daniil Medvedev tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Alejandro Davidovich Fokina 6-3, 6-3 pada aksi petang Ahad di Kejohanan Tenis Terbuka China.
Medvedev kini dibimbing jurulatih baharu, Thomas Johansson, selepas berpisah dengan Gilles Cervera susulan kekalahan di pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pemain Rusia itu akan berdepan Alexander Zverev dari Jerman yang bangkit daripada ketinggalan pada set penentuan untuk menewaskan Corentin Moutet 7-5, 3-6, 6-3.
Moutet mempamerkan 40 pukulan kemenangan dalam pertarungan selama dua jam 38 minit itu, namun rentak konsisten Zverev di set terakhir terlalu sukar untuk ditandingi pemain Perancis tersebut.
Sementara itu, Lorenzo Musetti dari Itali menewaskan pemain kelayakan, Adrian Mannarino 6-3, 6-3, sekali gus menempah pertemuan dengan pemain muda Amerika Syarikat, Learner Tien.
Tien, 19 tahun, mara ke suku akhir buat kali kelima dalam kariernya selepas menewaskan Flavio Cobolli 6-3, 6-2. -REUTERS