fb fb fb fb fb

Pogacar pertahan Kejuaraan Dunia di Kigali

Tadej Pogacar/Reuters

KIGALI, 29 September- Tadej Pogacar mengekalkan kejuaraan dunia berbasikal jalan raya buat kali kedua berturut-turut selepas mempamerkan aksi bertenaga di laluan berbukit Kigali, pada Ahad.

Pelumba Slovenia berusia 27 tahun itu melancarkan strategi awal di Mount Kigali dengan baki 104 kilometer sebelum meninggalkan semua pencabarnya untuk meraih kemenangan solo bergaya.

Remco Evenepoel dari Belgium menamatkan saingan di tempat kedua, ketinggalan satu minit 28 saat manakala Ben Healy dari Ireland meraih gangsa, podium pertama negaranya sejak Sean Kelly pada 1989.

Pogacar menjadi pelumba ketiga dalam tempoh dua dekad mengekalkan jersi pelangi selepas Peter Sagan dari Slovakia (2015-2017) dan Julian Alaphilippe dari Perancis (2020-2021).

Saingan sejauh 267.5 kilometer itu turut mencatat sejarah apabila buat pertama kali dianjurkan di benua Afrika dengan ribuan peminat membanjiri laluan berbukit dan berbatu di Kigali.

Kejayaan di Rwanda melengkapkan musim gemilang Pogacar selepas meraih gelaran Tour de France keempat pada Julai lalu selain memenangi beberapa perlumbaan klasik termasuk Strade Bianche, Tour of Flanders, La Fleche Wallonne dan Liege-Bastogne-Liege.

Pelumba UAE-XRG itu kini mengintai satu lagi kejayaan apabila bakal beraksi di Giro di Lombardia bulan depan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM