fb fb fb fb fb

Kuching City FC tundukkan Imigresen FC 4-0

Pemain Kuching City FC Petrus Shitembi cuba melepasi pemain Imigresen FC Joao Pedro Boeira Duarte pada perlawanan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Negeri, malam tadi / BERNAMA

KUCHING, 29 September - Kuching City FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menundukkan Imigresen FC 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.

Babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi rembatan kencang Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.

Ketegangan tercetus pada masa tambahan separuh masa pertama apabila pemain import Imigresen FC, Pedro Santos Filho, dilayangkan kad kuning selepas mengasari Moses Atede. Kuching City memperoleh sepakan percuma hasil insiden itu namun gagal dimanfaatkan. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-0.

Bersambung babak kedua, skuad The Cats pantas menambah jaringan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri meledak gol kedua pada minit ke-48. Pemain sama terus mencuri tumpuan dengan gol keduanya pada minit ke-64, sebelum Petrus Shitembi melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 pada minit ke-74.

Kemenangan itu menjadikan Imigresen FC sebagai mangsa ketiga Kuching City, yang kini berada di tangga keempat liga dengan mengutip 10 mata selepas lima perlawanan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE