fb fb fb fb fb

Sarawak juara keseluruhan Sukan Borneo 2025

Datuk Dr Ripin Lamat (tengah) selepas menyampaikan pingat kepada pemenang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong

KUCHING, 29 September - Sarawak muncul juara keseluruhan Sukan Borneo 2025 selepas berjaya mengutip 62 pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), merangkap Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, kontinjen negeri turut meraih 51 perak dan 45 gangsa.

“Hari ini kita memenangi 62 emas, 51 perak dan 45 gangsa. Kita berjaya melepasi target awal iaitu 55 pingat emas. Syabas dan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, keluarga serta pengurus pasukan yang sentiasa memberi kerjasama dan sokongan,” katanya ketika ditemui RTM di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media serta sukarelawan yang memainkan peranan besar sepanjang temasya berlangsung.

Mengulas lanjut, Datuk Dr Ripin berkata penganjuran Sukan Borneo wajar diteruskan kerana ia menjadi platform mencungkil bakat baharu selain mengangkat jaguh sukan serantau.

“Maklum balas positif diterima daripada semua kontinjen. Penganjuran dwitahunan ini penting untuk memberi peluang atlet muda dan senior bersaing serta menonjolkan bakat mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, ramai atlet bertaraf kebangsaan turut menyertai edisi kali ini dan berharap momentum kejayaan berterusan ke pentas lebih besar seperti SUKMA di Selangor serta Sukan SEA akan datang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE