KUCHING, 28 September - Kalimantan Timur, Indonesia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Borneo 2027, sekali gus menyambung kesinambungan temasya yang berjaya dianjurkan di Kuching tahun ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri akan terus menyalurkan sokongan dan dana bagi membangunkan sukan di rantau ini, selain memperkukuh kerjasama serantau.
“Kepada atlet yang datang dari jauh, saya doakan selamat pulang dan terus berlatih untuk bersaing di Kalimantan Timur pada 2027. Terima kasih kepada Gabenor Rudy Mas’ud kerana sudi menjadi tuan rumah.
“Insya-Allah pada 2027, Sarawak sudah mempunyai syarikat penerbangan sendiri, AirBorneo, untuk penerbangan terus ke Kota Samarinda. Mungkin juga kerjasama boleh dijalinkan dengan Royal Brunei Airlines bagi menghubungkan wilayah Borneo,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sukan Borneo Kuching 2025, malam ini.
Abang Johari menegaskan penganjuran edisi kali ini yang menghimpunkan atlet dari Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan Timur membuktikan semangat persahabatan antara wilayah Borneo terus kukuh.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan memilih Kalimantan Timur sebagai tuan rumah 2027 dicapai sebulat suara pada mesyuarat kontinjen semalam.
Katanya, keunikan Sukan Borneo ialah tiada had umur berbanding SUKMA, sekali gus memberi peluang kepada atlet berpengalaman dan juga muka baharu untuk terus bersaing serta bersedia ke pentas lebih besar seperti Sukan SEA dan Olimpik.
Sukan Borneo mula dianjurkan pada 1954 di Brunei Darussalam, sebelum terhenti pada 1970 dan dihidupkan semula pada 2005 hingga 2013. Selepas 12 tahun menyepi, ia kembali dianjurkan tahun ini di Kuching.