fb fb fb fb fb

Hatton sempurnakan kemenangan Eropah di Piala Ryder

FOTO REUTERS

NEW YORK, 29 September - Tyrrell Hatton menafikan kebangkitan pasukan Amerika Syarikat apabila memastikan kemenangan Piala Ryder untuk Eropah selepas mengutip setengah mata daripada perlawanan menentang Collin Morikawa di Bethpage Black. Ia sekali gus menggagalkan kebangkitan dramatik pasukan tuan rumah pada hari terakhir.

Terdahulu, Shane Lowry sudah menjamin Eropah mengekalkan trofi apabila mengikat perlawanan menentang Russell Henley. Namun, Hatton dalam aksi kedua terakhir memastikan Eropah mencapai sasaran 14.5 mata yang diperlukan untuk kemenangan mutlak.

Secara keseluruhan, Eropah hanya memerlukan 2.5 mata daripada 11 aksi perseorangan untuk mengesahkan kejuaraan. Kejayaan ini juga menandakan mereka sudah memenangi 11 daripada 15 edisi sejak 1995.

Luke Donald turut mencatat sejarah sebagai kapten pertama menjuarai edisi berturut-turut sejak Tony Jacklin pada era 1980-an. “Ia adalah 12 jam paling mencabar dalam hidup saya,” katanya sambil mengakui tentangan sengit Amerika.

Pasukan tuan rumah cuba bangkit apabila Cameron Young dan Justin Thomas membuka mata dengan kemenangan tipis, disusuli Xander Schauffele menewaskan Jon Rahm. Ludvig Aberg dari Sweden kemudian menghadiahkan mata pertama Eropah.

Matt Fitzpatrick pula hanya mampu berkongsi setengah mata selepas diikat Bryson DeChambeau, sebelum Scottie Scheffler menewaskan Rory McIlroy dan J.J. Spaun mengatasi Sepp Straka untuk terus menyalakan harapan Amerika.

Namun, Lowry memastikan trofi kekal di tangan Eropah apabila mencatat birdie di lubang terakhir untuk mengikat Henley, sebelum Hatton menutup kempen dengan par di lubang penamat bagi mengesahkan kemenangan bersejarah itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE