NEW YORK, 5 September – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, bangkit daripada permulaan goyah untuk mengekalkan misi mempertahankan gelaran Terbuka AS selepas menewaskan wakil tuan rumah, Jessica Pegula, 4-6, 6-3, 6-4 pada aksi separuh akhir.
Pegula bermula cemerlang apabila hanya melakukan tiga kesilapan pada set pertama, sebelum menguasai kedudukan menerusi break di permainan kesembilan hasil pukulan Sabalenka yang tersasar keluar.
Namun, Sabalenka kembali ke gelanggang dengan semangat baharu.
Beliau terus menguasai tiga game pertama, termasuk mematahkan servis lawan menerusi pukulan forehand, sekali gus mengubah momentum perlawanan.
Dalam set penentuan, Sabalenka sekali lagi mematahkan servis Pegula dan menunjukkan ketahanan mental apabila menyelamatkan tiga break point dalam game keenam yang panjang.
Pegula cuba bangkit dengan menyelamatkan dua match point, namun Sabalenka akhirnya menamatkan perlawanan dengan forehand sebelum meraikan kemenangan dengan penuh emosi.
Sabalenka kini akan berdepan sama ada juara Grand Slam empat kali dari Jepun, Naomi Osaka, atau pilihan kelapan dari Amerika Syarikat, Amanda Anisimova, pada perlawanan akhir. - REUTERS