SEATTLE, 5 September – Penyerang Inter Miami, Luis Suarez, memohon maaf selepas tindakannya meludah seorang staf kelab Seattle Sounders sejurus tamat perlawanan akhir Piala Liga Ahad lalu tular di media.
Dalam kenyataan di Instagram pada Khamis, pemain berusia 38 tahun itu mengakui perbuatannya salah dan dia menyesali kejadian tersebut.
“Ia berlaku ketika saat penuh tegang dan kecewa, sejurus perlawanan tamat.
"Perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku, tetapi itu bukan alasan untuk reaksi saya. Saya silap dan saya benar-benar menyesalinya,” tulis Suarez.
Seattle mengejutkan pasukan bintang Inter Miami yang diketuai pemenang lapan kali Ballon d’Or, Lionel Messi, dengan kemenangan 3-0 di Stadium Lumen Field.
Sebaik wisel penamat, Suarez dilihat menyerang pemain muda Seattle, Obed Vargas, 20, dengan mencekiknya, mencetuskan kekecohan membabitkan pemain serta staf kedua-dua pasukan.
Ketika ditenangkan, Suarez meludah ke arah seorang staf keselamatan Seattle.
“Saya rasa bersalah dengan apa yang berlaku, dan saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengakuinya serta memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan perbuatan saya,” tambahnya lagi.
Insiden itu mencetuskan spekulasi mengenai hukuman yang bakal dikenakan ke atas bekas penyerang Uruguay itu dalam kejohanan silang sempadan anjuran bersama MLS dan Liga-MX.
Dalam masa sama, Suarez menegaskan komitmennya untuk membantu Inter memburu slot ke saingan MLS Cup.
“Kami sedar musim masih panjang, dan kami akan bekerja bersama untuk capai kejayaan yang layak dimiliki kelab ini serta semua penyokongnya,” katanya.
Inter Miami dalam kenyataan di X turut mengecam insiden itu, menegaskan kelab kekal komited menegakkan semangat kesukanan di dalam dan luar padang.
Suarez kini sekali lagi menjadi tumpuan kerana rekod kontroversinya. Beliau pernah digantung empat bulan dan disingkirkan daripada Piala Dunia 2014 selepas menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.
Selain itu, Suarez juga pernah dikenakan tindakan disiplin atas beberapa insiden menggigit ketika beraksi di peringkat kelab, serta digantung lapan perlawanan di England pada 2011 selepas didapati bersalah melakukan penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra.
Nama Suarez turut dikenang di Piala Dunia 2010 apabila dia menampan bola dengan tangan di atas garisan gol untuk menafikan Ghana kemenangan dramatik di suku akhir. - AFP