fb fb fb fb fb

Aksi pertunjukan: Tyson, Mayweather capai persetujuan

Foto Facebook MMA Outsiders

NEW YORK, 5 September – Legenda tinju Mike Tyson dan Floyd Mayweather mencapai persetujuan untuk mengadakan pertarungan pertunjukan pada musim bunga 2026, menurut penganjur CSI Sports pada Khamis.

Buat masa ini, tarikh dan lokasi rasmi belum ditetapkan. Namun, CSI mengesahkan kedua-dua ikon sukan tersebut akan bertemu dalam gelanggang pada tahun berkenaan.

Tyson, 59, mencatat rekod profesional 50-7 dengan 44 kemenangan melalui KO, sekali gus menjadikan beliau antara jaguh heavyweight paling digeruni pada eranya.

Penampilan terakhirnya ialah menentang pempengaruh Youtuber yang bergelar petinju, Jake Paul, di Arlington, Texas pada November tahun lalu, di mana Tyson tewas selepas hampir tidak mampu melancarkan pukulan.

Pertarungan tersebut tetap menarik perhatian besar, dengan kira-kira 70,000 penonton hadir di stadium dan jutaan lagi menyaksikan di seluruh dunia.

Mayweather, 48, pula bersara pada 2017 dengan rekod sempurna 50-0 serta gelaran dunia dalam lima kelas berbeza. Walaupun begitu, beliau terus aktif dalam aksi pertunjukan, termasuk kemenangan ke atas John Gotti III di Mexico pada Ogos 2024.

“Apabila CSI menghubungi saya tentang kemungkinan bertemu Floyd Mayweather, saya fikir ia mustahil. Tetapi Floyd menyatakan persetujuan.

"Pertarungan ini sesuatu yang saya sendiri dan dunia tidak pernah jangka. Tinju kini memasuki era baharu yang penuh kejutan, dan perlawanan ini adalah antara yang paling sukar dijangka,” kata Tyson dalam kenyataan yang dikeluarkan CSI. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD