BRATISLAVA, 5 September – Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann mengecam aksi tidak bermaya ditunjukkan anak-anak buahnya selepas tewas 0-2 kepada Slovakia dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada Khamis.
Pada perlawanan itu, skuad Jerman ketinggalan berbanding lawan yang dianggap ‘underdog’, menerusi jaringan David Hancko dan David Strelec bagi memastikan kemenangan pasukan tuan rumah.
Kekalahan itu merupakan yang ketiga berturut-turut buat Jerman, sekali gus kekalahan pertama kepada Slovakia serta kali pertama tumbang di tempat lawan dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Di bawah kendalian Nagelsmann, pasukan juara empat kali Piala Dunia itu sebelum ini dilihat semakin melonjak selepas mengalami kegagalan di peringkat kumpulan pada dua edisi Piala Dunia lalu.
Namun, Nagelsmann jelas kecewa ketika ditemu bual stesen ARD Jerman sambil menegaskan kekalahan bukan berpunca daripada kualiti permainan, sebaliknya ketiadaan semangat juang para pemain.
“Dari segi emosi, lawan berada jauh di hadapan kami dari minit pertama hingga terakhir, itu hakikatnya. Mengejutkan, mereka pula yang berjaya menguasai perlawanan.
“Jika kita lihat sejarah 10 tahun kebelakangan ini, kami bukan pasukan yang penuh keyakinan hingga boleh bermain pada 80 peratus. Perkara sama berlaku di Piala Dunia Qatar", ujarnya.
“Kita sepatutnya sedar, jika mahu layak dan beraksi dengan baik di Piala Dunia, kita perlu berjuang bersungguh-sungguh. Hari ini, kita terlalu jauh daripada itu,” katanya.
Ketua pasukan Jerman, Joshua Kimmich turut memberi amaran terhadap rakan sepasukan berhubung aksi longlai yang ditunjukkan pada perlawanan berkenaan.
“Jika kami beraksi seperti hari ini, sudah pasti kami tidak akan layak (ke Piala Dunia). Semua orang perlu sedar apa yang sedang dipertaruhkan.”
Sementara itu, pertahanan Jonathan Tah mengakui pasukannya tidak berada dalam prestasi terbaik seolah-olah kehilangan punca.
“Kami hampir tiada kawalan sepanjang perlawanan, sebab itu kami layak kalah. Tidak dapat dinafikan, ia adalah aksi yang sangat lemah daripada kami,” katanya. - AFP