fb fb fb fb fb

Aksi persahabatan: Harimau Malaya jinakkan Singapura

Pemain Harimau Malaya, Stuart John Wilkin meraikan gol pertama ketika aksi pershabatan menentang Singapura / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 September - Harimau Malaya bermula langkah kanan apabila menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi (Khamis).

Gol pertama dijaringkan Stuart John Wilkin pada minit ke-26 sebelum Joao Vitor Brandao Figueiredo menambah jaringan kedua pada minit ke-53.

Singapura cuba bangkit menerusi Ilhan Fandi Ahmad pada minit ke-71, namun kedudukan kekal 2-1 hingga tamat perlawanan.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski, mengakui perlawanan berkenaan tidak mudah kerana Singapura turut memberikan saingan sengit.

“ Saya bangga pemain bertahan dengan baik, mereka berjuang habis-habisan hingga tamat dan tetap membawa kemenangan untuk negara,” katanya selepas perlawanan.

Cklamovski turut mengesahkan pemain pertahanan, Facundo Tomas Graces tidak akan bersama pasukan untuk aksi menentang Palestin kerana perlu kembali ke kelabnya di Sepanyol.

“Itu sebahagian daripada perancangan. Kami mahu seimbangkan kesegaran pemain dengan keperluan kelab.

"Bagi saya, ia juga peluang untuk pemain lain menonjolkan diri menjelang perlawanan dengan Palestin,” jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee tetap melihat perlawanan ini sebagai ujian berguna buat anak buahnya.

“Kami memang jangka aksi sukar kerana diasak sepanjang 94, 95 minit. Dari segi proses, ada beberapa fasa permainan yang baik, tetapi kami kurang tenang pada detik penting.

"Kekalahan ini akan jadi pengajaran berharga menjelang kelayakan Piala Asia di India,” katanya.

Malaysia akan bertemu Palestin dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD