fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia 2026: Jerman tersungkur 0-2 di Bratislava

Pemain tengah Jerman, David Raum, kecewa ketika pemain Slovakia meraikan kemenangan 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Bratislava. Foto- AFP

BRATISLAVA, 5 September - Pasukan empat kali juara dunia, Jerman dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Slovakia dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia 2026, sekali gus mencatat sejarah hitam apabila tewas buat kali pertama di gelanggang lawan dalam perlawanan kelayakan.

Gol Slovakia hadir pada minit ke-42 menerusi rembatan David Hancko selepas pasukan tuan rumah merampas bola di bahagian tengah. David Strelec kemudian menambah jaringan kedua pada minit ke-55 dengan larian dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan pertahanan Jerman, Antonio Rudiger.

Skuad bimbingan Julian Nagelsmann tampak tumpul di bahagian serangan dan longgar di benteng pertahanan. Kekalahan itu menambahkan tekanan ke atas Nagelsmann, kurang setahun menjelang kejohanan utama tersebut.

Jerman sebelum ini hanya tewas tiga kali dalam sejarah kelayakan Piala Dunia iaitu kepada Portugal pada 1985, England pada 2001 dan Macedonia Utara pada 2021, menjadikan kekalahan kepada Slovakia kali ini sebagai kekalahan keempat mereka secara keseluruhan.

Pasukan yang sudah dua kali tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia lalu itu turut berdepan masalah kecederaan dengan beberapa tonggak utama seperti Kai Havertz, Jamal Musiala dan Tim Kleindienst tidak dapat beraksi. Penyerang Niclas Fuellkrug pula menarik diri sebelum sepak mula akibat kecederaan betis.

Nagelsmann sebelum ini menegaskan pasukan bimbingannya mempunyai “keyakinan tinggi untuk menjuarai Piala Dunia”, namun persembahan hambar di Bratislava mendedahkan kelemahan yang perlu segera diperbaiki.

Jerman akan kembali beraksi pada Ahad ini menentang Ireland Utara di Cologne dalam usaha menghidupkan semula kempen kelayakan mereka.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN