NEW YORK, 1 September - Novak Djokovic mencatat sejarah pada usia 38 tahun selepas menewaskan Jan-Lennard Struff 6-3, 6-3, 6-2 di pusingan ke-16 Terbuka Amerika Syarikat pada Ahad, sekali gus menjadi pemain lelaki tertua mara ke suku akhir di keempat-empat kejohanan Grand Slam dalam satu musim.
Kejayaan itu juga menandakan penampilan ke-64 Djokovic di suku akhir Grand Slam, sekali gus meneruskan misi memburu gelaran utama ke-25.
Djokovic menguasai permainan sejak awal, menjinakkan pemain Jerman berusia 35 tahun itu dalam perlawanan berdurasi 109 minit. Struff, yang berada di ranking ke-144 dunia, sebelum ini menyingkirkan dua pemain pilihan untuk mara ke pusingan keempat pertamanya di AS Terbuka, namun gagal memberikan tentangan sengit kepada pilihan ketujuh itu.
Juara empat kali Flushing Meadows itu hampir tidak tergugat ketika beraksi, melakukan 12 ace dan memenangi 79% daripada servis pertamanya, walaupun sempat menerima rawatan pada bahu kanan dan lengan semasa perlawanan. Djokovic seterusnya akan berdepan wakil tuan rumah, Taylor Fritz.
Dalam aksi wanita, juara bertahan Aryna Sabalenka mudah menewaskan pemain Sepanyol tidak tersenarai, Cristina Bucsa, 6-1, 6-4 untuk mara ke suku akhir.
Pemain nombor satu dunia itu kini semakin hampir menjadi wanita pertama selepas Serena Williams (2012-2014) yang menjuarai Terbuka AS secara berturut-turut, sekali gus menghidupkan misi memburu kejuaraan Grand Slam pertama tahun ini selepas kecundang di final Terbuka Australia dan Perancis.- REUTERS