fb fb fb fb fb

Kuartet lelaki, wanita MA ungguli 4x100m Terbuka Malaysia 2025

Kuartet 4X100 lelaki Olahraga Malaysia / BERNAMA

KANGAR, 1 September - Kuartet 4x100 meter lelaki dan wanita Olahraga Malaysia (MA) menutup tirai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 dengan penuh bergaya apabila kedua-duanya dinobat juara pada aksi penutup di Stadium Tuanku Syed Putra, semalam.

Dalam acara lelaki, gandingan berpengalaman Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa bersama pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee serta Pengiran Aidil Auf Hajam, muncul juara dengan catatan masa 39.68 saat.

Pasukan itu menewaskan cabaran Majlis Sukan Universiti Malaysia (40.22s) di tempat kedua, manakala satu lagi kuartet MA menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 40.56s.

Bagi acara wanita, skuad MA yang dibarisi ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Nur Aishah Rofina Aling jauh meninggalkan pencabar tunggal, Terengganu, dengan catatan 45.58s. Pasukan Terengganu sekadar berpuas hati di tempat kedua (50.38s).

Pelari muda, Danish Iftikhar, 18, menyifatkan peluang bergandingan dengan atlet berpengalaman negara sebagai pengalaman berharga untuk meningkatkan prestasi peribadinya.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk Malaysia jika ada rezeki ke Sukan SEA di Thailand, Disember ini. Untuk acara individu 100m, saya hanya ikut arahan jurulatih dan fokus pada latihan serta pemulihan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Hafiz, 27, optimis kehadiran pelari muda seperti Danish dan Pengiran Aidil mampu memberi kekuatan baharu kepada skuad kebangsaan di pentas dwitahunan itu.

“Kita tahu sebelum ini Malaysia berjaya membawa pulang pingat di Sukan SEA. Tahun ini saya lihat atlet pelapis semakin meningkat dan itu kelebihan untuk pasukan meraih pingat, insya-Allah kalau ada rezeki,” katanya.

Kejohanan selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu itu disertai 658 atlet mewakili 19 pasukan tempatan dan 10 negara antaranya Algeria, China, Jepun, Nepal, Thailand, Sri Lanka dan Filipina.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE