PARIS, 30 Mei - Bintang Serbia, Novak Djokovic tidak berdepan masalah dalam misi memburu gelaran Grand Slam ke-23 pada saingan tenis Terbuka Perancis.
Pemain nombor tiga dunia itu melepasi halangan awal dengan menewaskan pemain Amerika Syarikat, Aleksandar Kovacevic, 6-3, 6-2 dan 7-6.
Kovacevic yang membuat penampilan pertama di kejuaraan itu nyata sukar menandingi ketangkasan Djokovic yang juga juara dua kali.
Menang 6-3 di set pertama, Djokovic terus menguasai set kedua untuk mudah mengatasi pemain berusia 24 tahun itu dengan keputusan 6-2.
Di set ketiga, Kovacevic dilihat lebih yakin dan berjaya membawa perlawanan sehingga ke Tie Break.
Namun, Djokovic berjaya mengawal tempo permainan untuk menutup permainan dengan kemenangan 7-6.
Di pusingan kedua, Djokovic akan bertemu pemain Hungary, Marton Fucsovics.