fb fb fb fb fb

Hoki Piala Remaja Asia 2023: Young Tigers perlu kekalkan momentum

(FOTO RTM)

SALALAH, 30 Mei-Skuad hoki remaja lelaki negara perlu mengekalkan semangat juang yang tinggi serta momentum kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini apabila menentang Pakistan pada separuh akhir hoki Piala Remaja Asia 2023, esok.

Jurulatihnya, Muhamad Amin Rahim berkata setiap pemain perlu memanfaatkan peluang jaringan padang dan pukulan sudut penalti pada aksi itu nanti.

"Ada juga beberapa kelemahan yang kita telah kenal pasti pada Pasukan lawan (Pakistan) dan saya harap pemain-pemain telah melakukan 'homework'(kerja rumah) dan menganalisa pihak lawan.

"Berdasarkan tiga perlawanan lalu, saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh menjelmakan kemenangan kali ini", katanya selepas ditemui di sini.

Pakistan melangkah ke saingan separuh akhir selaku naib juara Kumpulan A selepas mencatat tiga kemenangan dan satu seri.

Terdahulu, skuad Young Tigers mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah, Oman, semalam.

Keputusan itu sudah cukup untuk membawa Yooung Tigers ke pentas separuh akhir selaku juara kumpulan B.

Beraksi di Kompleks Sultan Qaboos, Salalah, Shahmie Irfan Suhaimi menghadiahkan jaringan tunggal negara menerusi penalti stroke pada minit ke-48.

Ia sekali gus mengekalkan rekod bersih kemenangan dalam empat perlawanan kumpulan.

Sebelum ini skuad muda negara berjaya menewaskan Uzbekistan 8-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B sebelum menundukkan Bangladesh 5-1.

Pada Ahad lepas, Skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim tidak berdepan masalah menewaskan Korea Selatan 3-1 pada aksi ketiga kumpulan.


(Jurulatih Skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim/FOTO RTM)

Media Baharu