fb fb fb fb fb

Malayan Tigress terlepas slot ke Piala Asia Wanita 2026

Malayan Tigress kandas di tangan Korea Utara 0-6 / FB JDT

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Harapan skuad bola sepak wanita negara untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026 musnah selepas tewas 0-6 kepada Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan H yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe, sebentar tadi.

Skuad kendalian Joel Cornelli yang sebelum ini cemerlang dengan dua kemenangan ke atas Palestin dan Tajikistan, nyata tidak mampu menyaingi kekuatan Korea Utara yang kini berada di ranking kesembilan dunia dan merupakan juara Asia tiga kali.

Namun begitu, kekalahan 6-0 itu dianggap lebih baik berbanding keputusan yang dicatat Palestin dan Tajikistan, masing-masing dibelasah 10-0 oleh pasukan gergasi Asia itu dalam perlawanan terdahulu.

Pada aksi malam tadi, Malaysia berjaya bertahan hampir 40 minit sebelum Kim Hye Yong membuka jaringan buat Korea Utara pada minit ke-39, diikuti gol kedua oleh Myong Yu Jong sebelum tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Korea Utara menambah dua lagi jaringan menerusi Kim Kyong Yong pada minit ke-52 dan 54, sebelum pemain sama melengkapkan hatrik pada minit ke-77.

Ri Hye Gyong memastikan kemenangan mutlak buat Korea Utara dengan gol keenam pada hujung perlawanan.

Pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026 dijadual berlangsung dari 1 hingga 21 Mac 2026 di Australia.

HASRON BIN HASSAN