JOHOR BAHRU, 6 Julai – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh skuad bagi musim 2025/26 apabila mengumumkan penyertaan penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo sebagai tonggak baharu pasukan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi video berdurasi 30 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers hari ini, memperlihatkan Figueiredo menyarung jersi nombor 25 Harimau Selatan.
“Joao Figueiredo membawa komitmen dan keazaman ke Johor Darul Ta’zim FC,” menurut kenyataan kelab dalam kapsyen video pengumuman tersebut.
Figueiredo menjadi pemain warisan ketiga menyertai juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu selepas pertahanan, Jon Irazabal dan pemain tengah, Hector Hevel.
Sebelum ini, JDT turut memperkenalkan empat lagi muka baharu termasuk Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Jairo Da Silva dan Moussa Sidibe bagi menghadapi saingan musim baharu.
Nama Figueiredo mula mencuri tumpuan selepas membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Dalam perlawanan tersebut, pemain berusia 29 tahun itu bukan sahaja menjaringkan satu gol tetapi turut memberi impak besar membantu Malaysia mencatat kemenangan bergaya 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sebelum ini, Figueiredo beraksi bersama kelab Turkiye, Istanbul Basaksehir sejak 2023.