fb fb fb fb fb

Kerajaan wujud HLC, cungkil bakat sukan tempur, olahraga dan renang

(FOTO FAIL)

PUTRAJAYA, 30 Mei - Kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menerajui pembangunan bakat sukan berprestasi tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata HLC akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan yang banyak menawarkan pingat iaitu sukan tempur, olahraga dan renang dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

"Ini supaya keselarasan di dalam tumpuan sukan yang digali kemampuannya untuk ke prestasi tinggi dapat dilaksanakan. Kami bersetuju supaya Jawatankuasa Peringkat Tertinggi dibuat dengan tidak melibatkan banyak Kementerian hanya 3/4 sahaja dan kita akan adakan mesyuarat dua minggu dari sekarang dan tarikhnya pada 7 Jun," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan (JKPS), di sini.

Tambah Ahmad Zahid, pada masa sama, HLC juga akan melihat kepada potensi untuk mencungkil bakat dalam kalangan anggota tentera, polis dan penguat kuasa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mereka dilibatkan dalam pembangunan sukan negara.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata HLC diwujudkan selepas melihat keputusan yang diraih kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 dengan menyaksikan sukan tempur antara menjadi penyumbang pingat emas terbanyak manakala Malaysia banyak terlepas pingat dalam sukan olahraga dan renang.

"Strategi kita kena bertukar, itu sebab Timbalan Perdana Menteri bersetuju untuk pengerusikan HLC antara tiga kementerian iaitu KBS, KPM dan KPT. Ini juga bagi memastikan ada penyelarasan untuk cungkil bakat dan kita tidak terlepas bakat-bakat muda dan kita akan fokus kepada tiga sukan ini," kata Hannah.

Media Baharu