fb fb fb fb fb

Kejohanan Skuasy Dunia: Empat pemain Malaysia mara ke pusingan kedua

Pemain skuasy wanita utama negara, S. Sivasangari membuka kempen kejohanan apabila menewaskan pemain Sepanyol, Marta Dominguez dalam aksi empat set, 11-4, 11-5, 16-18, 11-2 / Foto Hiasan / worldsquashchamps.com

KUALA LUMPUR, 11 MEI - Skuad skuasy negara terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila empat wakil Malaysia berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Dunia 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat, semalam.

Pemain skuasy wanita utama negara, S. Sivasangari, yang kini menduduki tangga kesembilan dunia, membuka kempen kejohanan dengan langkah kanan apabila menewaskan pemain Sepanyol, Marta Dominguez dalam aksi empat set, 11-4, 11-5, 16-18, 11-2.

Dengan kemenangan itu, S.Sivasanggari akan berdepan dengan Sana Ibrahim dari Mesir, yang menewaskan jaguh Finland, Emilia Soini dengan 11-8, 11-5, 11-5.

Dalam pada itu, Rachel Arnold turut memastikan tempatnya ke pusingan kedua selepas menundukkan pemain Mesir, Nour Heikal dengan keputusan 11-9, 11-9, 4-11, 11-3.

Ia merupakan kemenangan ketiganya berturut-turut ke atas lawan tersebut.

Namun, laluan Rachel dijangka lebih mencabar apabila dijadualkan bertemu pilihan utama kejohanan, Olivia Weaver dari Amerika Syarikat yang berada di ranking keempat dunia.

Sementara itu, Juara baharu Terbuka Bermuda 2025, Aira Azman mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Torrie Malik dari England dengan keputusan 11-8, 10-12, 11-7, 11-8.

Aira Azman, pemain ranking ke - 26 dunia, dijadual bertemu wakil Mesir, Salma Hany, yang mara selepas menewaskan rakan senegaranya, Menna Hamed, dengan keputusan 11-9, 8-11, 11-9, 11-3.

Dalam saingan lelaki, pemain ranking ke-10 dunia, Ng Eain Yow, tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan seterusnya selepas mengatasi wakil England, Patrick Rooney, dengan keputusan 11-8, 11-5, 11-6.

Eain Yow, yang diletakkan sebagai pilihan ke-10 kejohanan, bakal bertemu wakil Pakistan, Muhammad Asim Khan di pusingan kedua.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN