WAKAYAMA, 11 Mei - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menamatkan saingan Jelajah Kumano 2025 dengan penuh bergaya apabila dinobatkan juara keseluruhan pasukan dalam kalangan semua kontinjen bertanding.
Lebih manis, pelumba import dari Denmark, Mathias Bregnhøj, berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua keseluruhan dalam klasifikasi individu, dibezakan 8 saat dengan juara, Mark Stewart dari pasukan Vini Fantini.
“Ia bukan hasil yang kami buru kerana saya sentiasa mahu menang. Kami bertarung hebat menentang pendahulu dari Vini Fantini. Saya cuba strategi untuk meraih 4 saat di peringkat akhir, namun perlumbaan ini sememangnya sukar. Tempat kedua tetap satu pencapaian yang baik. Kini saya tak sabar untuk kembali berlumba di Jepun, dengan harapan memburu kemenangan.” kata Bregnhøj selepas tamat saingan Jelajah Kumano 2025.
Keputusan ini hadir selepas Bregnhøj menamatkan saingan di tempat kedua pada peringkat ketiga di belakang Stewart selain berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok utama pada peringkat ke 4, sekali gus mengekalkan kedudukan keseluruhannya. Bregnhøj turut meraih tempat ketiga dalam klasifikasi Raja Bukit (KOM) dengan pungutan 15 mata, memperkukuh prestasinya sebagai pendaki utama pasukan.