TEMERLOH, 31 Mei- Lebih banyak kejohanan silat perlu dianjurkan bagi mencari pengganti juara dunia empat kali, Al Jufferi Jamari.
Walaupun usaha berterusan sudah dimulakan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), namun ia dilihat masih belum mencukupi.
Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata, ramai pelapis baharu berjaya dicungkil melalui penganjuran kejohanan sebelum ini namun ia masih belum memadai.
Katanya, selain mencari bakat baharu, PESAKA dan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga perlu membuat persiapan bagi menghadapi pelbagai kejohanan besar termasuk Pertandingan Silat Dunia yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, tahun depan.
“Masih terlalu awal untuk saya menamakan kerana Al Jufferi pun bukan dibentuk dalam sehari ianya mangambil proses yang agak panjang namun saya bersyukur dalam kelompok pesilat negara sekarang ini kita mempunyai sejumlah besar yang rata -rata umur masih muda hampir sama sewaktu awal Al- Jufferi di pilih menyertai skuad kebangsaan jadi saya dapat lihat beberapa orang yang saya fikir ada kebolehan dan kemampuan," katanya.
(Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din)
Jelasnya, penganjuran kejohanan seperti itu memberi peluang kepada perguruan silat menonjolkan atlet muda berprestasi tinggi dalam pelbagai kategori.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian penutup kejuaraan silat Piala Al Jufferi 2023 di Temerloh.
Seramai 550 pesilat dari dalam dan luar negara menyahut cabaran Kejuaraan Silat Piala Al Jufferi Kebangsaan dan Antarabangsa Kali ke-4 bermula 27 Mei dan berakhir semalam.
Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu kanak-kanak (tujuh hingga 12 tahun), remaja (13 - 16 tahun) dan dewasa (17 tahun – 40 tahun).