MALLORCA, 28 Jun – Pemain tenis Perancis, Corentin Moutet, mara ke pentas akhir Terbuka Mallorca selepas menewaskan pilihan ketiga kejohanan Alex Michelsen, 6-4, 7-6(3) pada aksi separuh akhir.
Dalam perlawanan separuh akhir itu, Moutet mempamerkan aksi menyakinkan selepas melakukan dua ‘break’ pada set pertama untuk menang 6-4.
Set kedua menyaksikan saingan lebih sengit apabila kedua-dua pemain saling melakukan ‘break’ awal.
Michelsen hampir menguasai permainan apabila mencipta lima peluang break point pada kedudukan 4-3, namun semuanya diselamatkan Moutet dengan tenang.
Michelsen sekali lagi mendahului 6-5, namun Moutet kekal tenang untuk menyamakan kedudukan dan memaksa aksi ditentukan menerusi tiebreak.
Dalam ‘breaker’, Moutet mempamerkan aksi lebih konsisten selepas mendahului 4-3, sebelum menoktahkan kemenangan sejurus mendapat peluang pertama untuk menamatkan perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Moutet, 26, melangkah ke perlawanan akhir ATP pertamanya dalam tempoh lebih lima tahun, selepas kali terakhir mara ke pentas akhir di Doha pada 2020.
Pemain bukan pilihan itu akan menentang Tallon Griekspoor pada aksi akhir selepas pemain Belanda itu menyingkirkan pilihan kedua dari Kanada, Felix Auger-Aliassime, 6-4, 6-4.
Moutet kini mengintai peluang menjuarai gelaran ATP pertamanya sepanjang karier profesional.
Sementara itu, Griekspoor yang juga pilihan keempat kejohanan, meraih satu ‘break’ dalam setiap set untuk memastikan kemaraan ke pentas akhir.
Auger-Aliassime gagal memberi tekanan konsisten, terutama ketika menerima servis lawan.