fb fb fb fb fb

Hamilton diberi amaran selepas halang rookie Mercedes

Foto AFP

AUSTRIA, 28 Jun - Permulaan sukar Lewis Hamilton bersama Ferrari berterusan apabila beliau diberi amaran oleh para pegawai perlumbaan selepas menamatkan sesi latihan kedua Grand Prix Austria di tempat ke-10.

Juara dunia tujuh kali itu didakwa telah menghalang pelumba muda Mercedes, Kimi Antonelli dari Itali, di selekoh keempat Litar Red Bull Ring yang terletak di pergunungan Styrian Alps.

Hamilton segera memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau tidak menyedari kehadiran Antonelli yang sedang mendekati dari belakang ketika beliau sedang melalui kawasan berbukit dalam pusingan perlahan dan secara tidak sengaja memasuki garisan perlumbaan.

Hamilton turut mengangkat tangan sebagai isyarat memohon maaf kepada Antonelli ketika pelumba remaja itu memotongnya.

Selepas mendengar penjelasan daripada Hamilton, para pegawai perlumbaan memutuskan untuk mengenakan amaran rasmi, satu tindakan lazim bagi kesalahan seperti itu dalam sesi latihan.

Ia amaran ketiga seumpamanya terhadap Hamilton pada musim ini. – AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN