SELANGOR, 26 Jun - Persiapan atlet negara bagi acara sukan luncur ais sedang giat dijalankan. Ini termasuk latihan komprehensif di dua negara bagi persiapan Sukan SEA 2025 di Thailand.
Menurut Presiden Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM), Datuk Mohamad Fadzli Johan, latihan secara menyeluruh itu diyakini mampu membawa pulang tiga pingat emas pada temasya kali ini.
"Atlet kita sedang menjalani latihan untuk luncur ais berbunga di Amerika Syarikat bersama jurulatih yang terpilih dan juga di Korea Selatan bagi latihan luncur laju" jelasnya.
Tambahnya, meskipun pasukan Thailand sudah bersedia sejak dua tahun lalu, pasukan negara sentiasa berusaha meningkatkan prestasi termasuk menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia Dan Sukan dan Majlis Sukan Negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pertandingan Berprestij Skate Malaysia di Sunway.