AMERIKA SYARIKAT, 28 Jun - Di sebuah negara di mana permusuhan bola sepak sering diwarisi turun-temurun, Botafogo dan Palmeiras kini bersedia menambah satu lagi episod dalam persaingan sengit mereka apabila bertemu pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab awal pagi esok.
Permusuhan itu, yang tercetus pada tahun 2023, menyaksikan pelbagai drama di dalam dan luar padang.
Palmeiras, yang diterajui bintang muda sensasi Endrick, bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menewaskan Botafogo 4-3, keputusan yang menjadi pencetus kejatuhan kelab Rio itu dalam perebutan kejuaraan liga Brazil.
Palmeiras kemudiannya merangkul gelaran liga, sekali gus menimbulkan ketegangan yang berlarutan hingga tercetus perang mulut di antara pegawai kedua-dua kelab.
Presiden Palmeiras, Leila Pereira, menyifatkan pemilik Botafogo, John Textor, sebagai “orang kurang cerdik” dan mencadangkan agar beliau “diharamkan daripada bola sepak Brazil” susulan dakwaan usahawan dari Amerika Syarikat itu bahawa pengadil berat sebelah kepada Palmeiras.
Permusuhan itu mencabar tradisi perseteruan bola sepak Brazil yang lazimnya berasaskan bandar, dengan Palmeiras berasal dari Sao Paulo manakala Botafogo dari Rio de Janeiro.
Tidak seperti perseteruan klasik berusia lebih 100 tahun seperti Flamengo-Fluminense atau Atletico-Cruzeiro, permusuhan rentas negeri itu berkembang menjadi suasana tegang, dengan setiap pertemuan membawa pertaruhan yang besar.
Botafogo berjaya membalas dendam pada Copa Libertadores 2024 apabila menyingkirkan Palmeiras pada pusingan 16 terakhir sebelum menjuarai gelaran benua itu.
Ketika kedua-dua pasukan bertemu semula dalam saingan liga Brazil di laman Palmeiras, Botafogo sekali lagi menang dan akhirnya meraih gelaran berganda domestik dan antarabangsa.
Sejak kekalahan pada 2023 itu, Botafogo tidak pernah tewas dalam lima perlawanan berturut-turut menentang Palmeiras.
Pertemuan awal pagi esok di Lincoln Financial Field, Philadelphia akan menguji tahap permusuhan yang melangkaui sekadar persaingan.
Pemain pertahanan, Alex Telles berkata, perlawanan terakhir antara Botafogo dan Palmeiras amat bermakna, sengit dan penuh dengan aksi mendebarkan.
Beliau menyatakan, persaingan antara kedua-dua pasukan merupakan sesuatu yang sihat untuk industri bola sepak Brazil.
Beliau turut menyifatkan ia sebagai satu perkara yang membanggakan apabila dua kelab Brazil bertemu di Piala Dunia Kelab, selain kesemua empat kelab berjaya mara ke pusingan 16. - REUTERS