fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Jepun: Alcaraz mara ke pentas akhir

Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, / Foto REUTERS

TOKYO, 30 September - Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz bakal berdepan Taylor Fritz di pentas akhir Terbuka Jepun selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Casper Ruud 3-6, 6-3, 6-4.

Kemenangan tersebut merupakan kejayaan ke-66 Alcaraz musim ini, sekali gus menjadikannya pemain lelaki keempat dalam sejarah selepas Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic yang berjaya mara ke sembilan perlawanan akhir ATP berturut-turut.

Meskipun menang, juara Grand Slam enam kali itu mengakui kecewa dengan prestasi hambar yang dipamerkannya pada set pertama.

“Saya ada banyak peluang pada set pertama. Kalau tak silap ada empat break point.

"Jadi saya cuba lebih positif berbanding set pertama. Saya agak marah dengan diri sendiri, lalu cuba bermain dengan lebih gembira dan masukkan fikiran positif dalam minda,” kata Alcaraz.

Selepas melakukan 15 kesilapan mudah pada set pembukaan, Alcaraz menguasai set kedua dengan memenangi 20 daripada 24 mata servis sebelum mengawal perlawanan hingga ke penghujung.

Sementara itu, pilihan kedua Fritz, yang menewaskan Alcaraz dalam Piala Laver minggu lalu, menempah tiket akhir selepas menundukkan rakan senegara Jenson Brooksby 6-4, 6-3.

“Saya tahu dia sedang bermain tenis hebat kebelakangan ini,” kata Alcaraz mengenai Fritz.

“Ia satu lagi cabaran buat saya dan saya menantikannya", ujarnya.

Pemain Amerika itu melakukan 13 servis ace untuk mara ke perlawanan akhir.

Pertemuan itu turut menjadi medan balas dendam buat Alcaraz selepas beliau tewas mengejut kepada kepada Fritz pada kejohanan Piala Laver di San Francisco awal bulan ini.

Kekalahan berkenaan merupakan kekalahan pertamanya kepada pemain Amerika Syarikat dalam empat pertemuan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD