LIVERPOOL, 30 September - Pengurus baharu West Ham United, Nuno Espirito Santo menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Everton pada Isnin sebagai isyarat positif bahawa pasukannya mampu bangkit selepas permulaan buruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Meskipun begitu, Nuno mengakui masih banyak ruang perlu diperbaiki bagi skuad 'The Hammers' untuk kembali digeruni.
“Mesej kami hari ini jelas iaitu bermain sebagai satu pasukan, saling membantu, dan para pemain melaksanakannya dengan baik.
"Secara keseluruhan saya fikir ia permulaan yang baik untuk kami,” kata jurulatih berusia 51 tahun itu.
“Perlawanan ini akan menjadi batu loncatan untuk kami bergerak ke hadapan.
"Kini kami akan menganalisisnya, memahami pemain dengan lebih baik dan cuba membuat keputusan yang tepat pada masa yang sesuai", ujar pengendali dari Portugal itu.
Pada perlawanan berkenaan, tuan rumah, Everton berjaya memecah kebuntuan dengan gol pertama pada minit ke-18 hasil tandukan Micheal Keane yang berpunca daripada sepakan penjuru.
Everton seringkali mengasak pintu gol West Ham dan hampir memperolehi gol kedua menerusi tandukan Kiernan Dewsbury-Hall yang sedikit tersasar.
Bersambung babak kedua, West Ham mula memperkemaskan serangan dan hampir menyamakan kedudukan melalui percubaan Crysencio Summerville yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Serangan berterusan West Ham akhirnya berhasil apabila penyerangnya, Jarrod Bowen merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-65 bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Kedudukan berkenaan kekal sehingga tamat permainan. - REUTERS