fb fb fb fb fb

ACLE: Al-Hilal jinakkan Nasaf

Foto REUTERS

QARSHI, 30 September - Al Hilal meneruskan permulaan sempurna mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) apabila meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas tuan rumah dari Uzbekistan, Nasaf, pada Isnin.

Bermain sebagai pasukan pelawat, Al-Hilal terpaksa menunggu jaringan minit ke-79 menerusi Marcos Leonardo untuk membawa pulang tiga mata penuh selepas terikat 2-2 sebelum itu.

Sergej Milinkovic-Savic membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Nasaf, Abduvakhid Nemetov.

Namun Sardorbek Bakhromov menceriakan penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan enam minit kemudian dengan rembatan kencang ke gawang Al-Hilal.

Bintang Al-Hilal, Theo Hernandez kemudian mengembalikan kelebihan pasukan berkenaan pada minit-minit akhir separuh masa pertama, apabila bijak melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Nasaf bagi kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali bersemangat melancarkan serangan demi serangan bagi mencari gol penyamaan.

Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila Javokhir Sidikov bijak memperdayakan penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou pada minit ke-60 bagi mengikat kedudukan 2-2.

Leonardo menjadi wira Al-Hilal apabila menyempurnakan hantaran Milinkovic-Savic dengan rembatan pertama yang terus menerjah gawang untuk gol kemenangan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD