fb fb fb fb fb

Liga Juara Eropah: Slot anggap Galatasaray lawan sukar

Ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot / Foto REUTERS

ISTANBUL, 30 September - Pengendali Liverpool, Arne Slot menyifatkan Galatasaray sebagai lawan yang “amat sukar” menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang kelab Turkeye itu pada Selasa.

Bercakap pada sidang media pra-perlawanan, Slot menegaskan skuad bimbingan Okan Buruk itu memiliki kekuatan mental selepas mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam saingan Super Lig Turki musim ini.

"Galatasaray adalah pasukan yang sangat sukar ditewaskan, sama seperti Crystal Palace," kata Slot.

"Mereka tidak tewas dalam 18 perlawanan, manakala Galatasaray memenangi tujuh perlawanan pertama dalam liga. Itu menunjukkan mereka kuat dari segi mental untuk menghadapi detik-detik sukar."

Slot turut berkata pasukannya perlu lebih berwaspada menghadapi situasi bola mati Galatasaray , sambil menyifatkan kekalahan besar Galatasaray kepada Eintracht Frankfurt pada perlawanan sebelum ini tidak menggambarkan prestasi sebenar pasukan Turkeye itu.

“Mereka sangat tidak bernasib baik ketika tewas 1-5 kepada Frankfurt. Jika perlawanan itu diulang, mereka tidak akan bolos lima gol.

"Jadi kami perlu bersedia dengan baik, khususnya ketika bertahan daripada sepakan percuma dan sepakan sudut,” katanya.

Sementara itu, Slot mendedahkan Liverpool terpaksa beraksi tanpa penyerang Federico Chiesa, selepas pemain itu gagal pulih daripada kecederaan ringan yang dialaminya ketika tewas kepada Crystal Palace, hujung minggu lalu.

Chiesa digugurkan daripada senarai 21 pemain selepas dia tidak dapat menamatkan sesi latihan terakhir.

Selepas mengalami kekalahan pertama liga musim ini, Slot mahu skuadnya segera bangkit dengan memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan.

“Tidak kira sama ada menang, kalah atau seri, kalau mahu bersaing untuk trofi dan memakai jersi Liverpool, anda perlu berikan segala-galanya dan gabungkannya dengan kualiti bola sepak terbaik.

Kami melepaskan lebih banyak peluang ketika menentang Palace berbanding sebelumnya. Jadi memang ada perkara yang perlu diperbaiki,” ujarnya.

Slot menolak dakwaan masalah pertahanan berpunca daripada perubahan posisi bek sayap, sebaliknya menekankan ia tanggungjawab kolektif pasukan.

“Salah satu kekuatan kami sebelum ini ialah berjaya menjauhkan lawan daripada pintu gol, dan itu biasanya tidak bermula dengan pertahanan. Kami perlu kembali kepada perkara itu dan buktikan dalam minggu serta bulan akan datang,” jelasnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD