fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Cicinnati: Sabalenka mara ke pusingan 16

Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Aryna Sabalenka/Foto REUTERS

CINCINNATI, 12 Ogos – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Terbuka Cincinnati selepas menewaskan Emma Raducanu 7-6(3), 4-6, 7-6(5) dalam perlawanan sengit yang memakan masa selama 3 jam 9 minit.

Seperti pertembungan mereka di Wimbledon bulan lalu, kedua-dua pemain sekali lagi menghadirkan aksi epik, termasuk satu permainan dengan 13 deuce pada set penentuan, sebelum Sabalenka mengesahkan kemenangan.

Bertunjangkan servis kencangnya, Sabalenka memenangi dua tiebreak untuk mencatat 18 kemenangan tiebreak musim ini iaitu yang terbanyak dalam sejarah era profesional bagi pemain perseorangan wanita.

Raducanu, meskipun tewas, menunjukkan prestasi semakin baik menjelang Terbuka AS  hujung bulan ini, yang menyaksikan beliau pernah muncul juara pada 2021.

Menariknya, pemain Britain itu mengutip mata keseluruhan lebih banyak berbanding Sabalenka, 125–123.

Sabalenka akan berdepan wakil Sepanyol, Jessica Bouzas Maneiro, di pusingan 16.

Dalam aksi lain, Anna Kalinskaya mengejutkan pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Amanda Anisimova, 7-5, 6-4, untuk meraih kemenangan ketiga ke atas pemain terbaik 10 musim ini.

Kalinskaya akan bertemu rakan senegara, Ekaterina Alexandrova, pada pusingan seterusnya. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD